walau sehebat mne pon kita... walau setinggi mne pon kita belajar... walau besar mne pon kejayaan kita.... tanpa restu dan doa ibubapa kita... cm kehidupan kita tiada keberkatan......

Followers

Para Tetamu

Sunday 24 July 2011

APAKAH HUKUM PEMINDAHAN ORGAN DI DALAM ISLAM?

APAKAH HUKUM PEMINDAHAN ORGAN DI DALAM ISLAM?
Pemindahan organ dilakukan untuk menggantikan organ yang tidak berfungsi atau rosak, dengan tujuan merawati pesakit. Proses ini merupakan suatu cara perubatan yang diharuskan oleh Islam.
Oleh yang demikian, para fuqaha’ telah memutuskan bahawa hokum pemindahan organ adalah harus. Ini bertepatan dengan matlamat Syara’ (maqasid Syari’ah) yang memandang berat terhadap kebajikan dan maslahat manusia, serta pemeliharaan nyawa manusia. 

Tidak syak lagi bahawa pemindahan organ termasuk di dalam menjaga kehidupan manusia. Namun, pemindahan tersebut tidak boleh menyebabkan mudarat kepada orang yang diambil darinya organ untuk dipindahkan kepada orang lain. Ini berdasarkan kaedah di dalam Syara’ yang menetapkan bahawa “sesuatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan cara menyebabkan kemudaratan kepada orang lain”. Kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu kemudaratan tidak boleh dihindarkan dengan mendatangkan mudarat yang setimpal atau yang lebih besar darinya.
  
APAKAH HUKUM PENDERMAAN ORGAN DI DALAM ISLAM?
Terdapat dua jenis pendermaan organ. Yang pertama adalah pendermaan dari seseorang sewaktu hayatnya. Kedua adalah pendermaan dari seseorang setelah ia meninggal dunia.

Umumnya, pendermaan organ adalah dibolehkan di dalam Islam. Ia adalah sesuatu pemberian yang sangat bernilai, sepertimana wang ringgit dapat melapangkan kehidupan orang yang memerlukan. Begitu juga penderma organ akan melapangkan kepayahan yang dideritai oleh para pesakit selama ini. Ini adalah kerana pendermaan organ merupakan cara yang dapat membantu pesakit, serta menyelamatkan nyawanya.

Para ulama’ telah mengharuskan juga pendermaan organ dari seseorang yang telah meninggal dunia kepada yang masih hidup, jika si mati telah mengizinkan sewaktu hayatnya, atau warisnya mengizinkan pendermaan tersebut. Disertakan di sini beberapa fatwa-fatwa dan pendapat dari ulama’
yang muktabar tentang isu pendermaan organ.

Majma’ Al-Fiqh Al-Islami
“Dibolehkan anggota si mati dipindahkan kepada yang hidup, dimana kehidupan yang menerima anggota tersebut bergantung kepada penerimaan anggota tersebut, atau keselamatan fungsi asasi dalam diri si hidup bergantung kepada penerimaan anggota tersebut. Ini bersyarat dengan keizinan si mati, atau ahli warisnya selepas kematian si mati,atau dengan syarat persetujuan pemimpin masyarakat Islam dengan pemindahan tersebut, sekiranya si mati tidak dikenali, atau tidak mempunyai ahli waris.” 

Majlis Tertinggi Ulama di Riyadh
“Dibolehkan pemindahan organ atau sebahagian darinya dari manusia yang sudah meninggal dunia kepada orang lain jika ia sangat memerlukannya. Juga dibolehkan pemindahan organ semasa penderma masih hidup kepada penerima yang sangat memerlukannya.” 

Fatwa Mufti Mesir, Dr Muhammad Syed Tantawi
“Sesungguhnya hukum pendermaan organ orang yang masih hidup adalah harus menurut jumhur ulama’ fiqh, tidak kira sama ada ia didermakan kepada saudara ataupun kepada orang luar, selagi mana ia dianggap sebagai sesuatu yang bermanfaat dari pihak doktor yang dipercayai. ...
[S]esungguhnya mengeluarkan organ daripada tubuh yang sudah mati untuk dipindahkan kepada orang yang memerlukannya, tidak kira sama ada untuk menyelamatkan nyawanya, ataupun untuk mengubati penyakit yang dialaminya, adalah harus, dan ia berdasarkan pandangan jumhur ulama fiqh.”

Majlis Fatwa Kuwait
“Jika yang diambil organ darinya untuk dipindahkan adalah si mati, maka hukum memindahkan organ adalah harus, tidak kira sama ada ia dalam bentuk wasiat ataupun tidak. Ini berdasarkan kaedah bahawa perkara yang darurat seperti menyelamatkan nyawa mengharuskan yang terlarang. Maka pemindahan organ dibenarkan selagi mana keperluan dan darurat masih wujud. Jika si penderma organ masih hidup dan organ yang diambil boleh menjejas nyawanya, seperti mengeluarkan jantung atau paru-paru, maka ia adalah haram secara mutlak, tidak kira sama ada si penderma mengizinkannya ataupun tidak. Jika organ atau anggota badan yang dipindahkan tidak akan menjejas nyawa si penderma, iaitu si penderma boleh meneruskan hidup tanpanya, maka hukumnya berdasarkan beberapa perkara. Jika dengan tiadanya anggota badan tersebut ia akan mencacatkan si penderma, atau menghalangnya dari menunaikan kewajipannya seperti mendermakan tangan atau kaki, maka ia adalah haram. Jika nyawa si penderma tidak akan terjejas apabila anggota yang dikeluarkan, seperti ginjal atau gigi atau darah, maka pemindahan organ atau anggota badan
tersebut hukumnya adalah:

• Haram, jika ia dilakukan tanpa izin si penderma,
• Harus, jika si penderma mengizinkannya, dan jika kadar kejayaan
pembedahan adalah tinggi.”

Fatwa Dr Yusuf Al-Qaradhawi
Seseorang yang berusaha untuk menghilangkan kemudaratan yang dialami seorang manusia, contohnya dari penyakit ginjal, dengan mendermakan salah satu daripada ginjalnya yang sihat adalah dibenarkan syara’, malah ia dianggap sebagai sesuatu yang baik dan akan diberi ganjaran. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa sesiapa yang memberi rahmat di bumi akan menerima rahmat dari Yang berada di langit. Dan di sini saya berpendapat bahawa tiada larangan daripada mendermakan organ atau anggota mayat kepada pesakit yang memerlukannya untuk mengubati penyakitnya, dan menggantikan
organnya yang tidak berfungsi lagi seperti ginjal atau jantung dan sebagainya dengan niat sedekah. Dan sedekah ini dianggap sebagai sedekah jariah yang berkekalan dan berterusan ganjarannya selagi mana si penerima dapat bermanfaat daripadanya.”

Fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan, Malaysia
“Pemindahan mata dan jantung orang-orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan dalam Islam dan atas kebenarannya. Perhitungan berikut hendaklah di ambil perhatian:

     Dalam keadaan mendesak dan mustahak bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
         Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum pemindahan jantung itu.
·  Tindakan-tindakan sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan dan perdagangan anggotanya.”

Walaupun organ yang disebut hanya mata dan jantung, tersirat di dalam fatwa ini ialah semua organ erana jika jantung boleh diambil, organ-organ lain tentulah dibolehkan.

Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura

Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa sejak tahun 1973 mengenai isu pendermaan organ.
Dalam isu seseorang membuat wasiat untuk menderma organnya selepas kematiannya, fatwa yang dikeluarkan pada 1973 menghukumkan tidak sah wasiat seseorang untuk mendermakan buah pinggangnya kepada pesakit ginjal. Sebab yang dikemukakan di sebalik kelulusan fatwa pada masa itu adalah bahawa seseorang itu tidak memiliki dirinya sendiri, termasuk buah pinggangnya atau mana-mana organnya. Maka seseorang itu tidak berhak untuk mendermakan buah pinggangnya. Di samping itu, tidak terdapat maklumat mengenai sejauh mana bahaya penyakit buah pinggang, dan sama ada ia mempunyai penawar lain selain daripada pemindahan organ. Pada masa yang sama, perkembangan kejayaan perubatan dan sains dalam aspek ini pula pada masa itu belum lagi mencapai tahap yang meyakinkan.

Fatwa 1986
Namun selepas kajian semula, fatwa di atas telah dipinda dengan fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1986, di mana pemindahan organ dalam keadaan darurat bagi menyelamatkan nyawa adalah dibolehkan, seperti mana yang telah difatwakan banyak institusi Islam pada waktu itu. Ini berdasarkan
kaedah fiqh “darurat membolehkan yang terlarang”. Peningkatan dalam ilmu perubatan juga menunjukkan kadar kejayaan yang tinggi bagi proses pemindahan organ untuk merawati pesakit yang mengalami kegagalan organ tersebut

BUKANKAH SAKIT ITU TAKDIR ALLAH DAN PESAKIT HARUS MENERIMANYA DAN TIDAK MENGHARAPKAN ORGAN YANG DIDERMA?

Aqidah Islam mengajar kita bahawa semua kuasa adalah di tangan Allah S.W.T. Namun, kita disuruh juga supaya berusaha dan mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dengan kemampuan, dan bukan berserah kepada taqdir tanpa berusaha melakukan sesuatu. Oleh itu, walaupun kita beriman bahawa Allah S.W.T. memberi dan menyediakan rezki, namun kita diperintahkan keluar bekerja dan mencari naf kah. Begitu juga ajaran Islam di dalam perkara mengubati penyakit. Seseorang Muslim disuruh mencari ubat bagi penyakitnya, dan setelah melakukan usaha tersebut, barulah bertawakkal kepada Allah S.W.T. tentang hasil usaha perubatan yang dijalaninya. 

Pesakit yang memerlukan organ baru berhak menerima bantuan yang selayaknya dari masyarakat. Adalah juga tanggungjawabnya untuk mendapatkan khidmat perubatan untuk penyakit yang deritainya, dan ini termasuk mencari organ untuk menggantikan organ asalnya yang tidak berfungsi lagi. Masyarakat pula berperanan menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit, dan berusaha untuk menghilangkan kemudaratan mereka, tanpa menimbulkan kemudaratan
bagi diri sendiri. Ini boleh dilakukan dengan menderma organ mereka,selagi mana ia tidak memudaratkan diri penderma sendiri.

Mengapakah Islam menggalakkan kita untuk menjadi pengikrar?
Berikrar untuk menderma organ adalah sesuatu yang amat digalakkan Islam. Amalan ini bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang bersifat universal dan dapat diterima semua kelompok manusia. Prinsip-prinsip ini termasuk sifat rahmah atau saling mengasihi, bantu-membantu dan sedekah jariah (yang berterusan). Berikrar untuk menderma organ merupakan suatu usaha yang diwarnai sifat rahmah dan belas ihsan. Seseorang yang berikrar, tidak kira jika organnya dipindahkan ataupun tidak, akan menerima ganjaran yang sewajarnya dari Allah S.W.T atas niat dan perbuatannya yang bersesuaian dengan sifat rahmah dan ihsan. 

Maksudnya: “Allah Yang Maha Pengasih akan mengasihi mereka yang bersifat pengasih. Maka kasihanilah mereka yang berada di bumi ini nescaya kamu mendapat rahmah dari Dia yang dilangit.” (Hadith riwayat At-Tarmizi)

Islam juga menekankan prinsip ta’awun (bantu-membantu) di antara umat manusia. Seseorang yang menderita penyakit dan memerlukan organ untuk meneruskan hidupnya tentu sekali perlu dibantu dengan apa segi cara pun, selagi mana ia tidak memudaratkan diri orang yang membantu. Pada masa yang sama, derma tersebut akan juga mengurangkan kesusahan dan beban yang ditanggung oleh keluarga pesakit. Di dalam masalah pesakit ginjal, kos dialisis adalah tinggi dan menyebabkan kesempitan kewangan bagi pesakit dan keluarganya. Persekolahan anak dan pembangungan keluarga pesakit juga terjejas teruk, selagi mana pesakit tidak mendapat ginjal baru. Oleh itu, masyarakat harus berusaha membantu dengan segenap cara yang diizinkan syara’. Firman Allah S.W.T..

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada yang melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.[9]

Pada masa yang sama, amalan ini juga dianggap sebagai sedekah jariah.Sedekah jariah bermaksud sedekah yang berterusan ganjarannya bagi orang yang melakukannya, walaupun selepas kematiannya, selagi mana ada yang masih mendapat manfaat dari sedekah tersebut dalam apa jua
bentuk pun. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

Maksudnya: “Apabila seorang manusia meninggal dunia, akan terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Hadith riwayat at-Tarmizi)
Apatah lagi bantuan yang diberikan ini akan memberikan peluang bagi para pesakit meneruskan kehidupannya dan juga membantu mengurangkan penderitaan yang dihadapinya dan juga keluarganya


BOLEHKAH SESEORANG MUSLIM MENDERMA UNTUK ORANG  BUKAN ISLAM?

Rasulullah S.A.W. diutuskan kepada alam semesta sebagai rahmatan lil aalamin, rahmat bagi seluruh alam, kepada semua umat manusia, samada yang beragama Islam, atau bukan Islam. Islam mengajar umatnya berbuat baik dan bersifat ihsan kepada semua makhluk ciptaan Tuhan, apatah lagi kepada manusia yang memerlukan bantuan. Ini termasuk bantuan yang boleh diberikan kepada orang yang bukan Islam yang hidup damai dan sejahtera dengan umat Islam. Al-Quran menganjurkan bagi umat Islam untuk berbuat baik, menghulurkan bantuan, dan bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia umumnya. Allah S.W.T telah berfirman:

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari tempat tinggal kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Al-Quran juga menerangkan ganjaran yang akan diberikan oleh Allah S.W.T bagi mereka yang telah menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam segala bentuknya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W. juga telah menekankan tentang pentingnya sifat ihsan yang harus ada pada setiap muslim. Sifat ihsan bererti berbuat baik, membantu dan menunjukkan belas kasihan kepada semua makhluk, termasuklah mereka yang bukan Islam. Rasulullah S.A.W.
telah bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan keihsanan atas semua perkara.
 (Hadith riwayat Al-Bukhari)

PERSOALAN BERKAITAN DENGAN ISU PENDERMAAN DAN PEMINDAHAN ORGAN.

Adakah proses pemindahan organ selepas meninggal mencabuli kehormatan mayat?

Umumnya, manusia dilarang dari mencabuli kehormatan tubuh mayat seperti yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.:
Yang bermaksud “Memecahkan (mematah atau meremukkan) tulang mayat sama seperti memecahkan tulang manusia yang masih hidup.”
(Hadith riwayat Ibn Majah)

Maka kehormatan yang diberikan kepada seorang manusia yang masih hidup harus juga diberikan kepada seorang manusia yang sudah mati. Kematian seseorang itu tidak memberi ruang bagi manusia lain untuk menganiayainya. Walaubagaimanapun, hadith di atas membicarakan tentang penghinaan dan perbuatan ke atas mayat yang tidak dizinkan Syara’. Hadith tersebut bermaksud melarang dari mengudungkan mayat, menghodohkan wajahnya dan menghinanya, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyyah dalam peperangan.
Namun, Syara’ membolehkan pembedahan ke atas mayat untuk mengeluarkan bayi yang masih hidup dari kandungan ibunya yang sudah meninggal dunia, atau mengeluarkan sesuatu yang amat berharga seperti sebuah berlian dan sebagainya. Oleh itu, pembedahan untuk mengambil organ dari si mayat, untuk didermakan kepada yang hidup, demi untuk menyelamatkan nyawanya, boleh dilakukan. Ini jauh berbeza dari amalan menghina mayat dengan merosakkannya.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berpendapat bahawa:

“Sesungguhnya mengambil anggota dari jasad mayat tidak menafikan kehormatan mayat itu. Kehormatan dipelihara tanpa diceroboh.Kerana rawatan pemindahan yang dilakukan ke atas orang yang hidup iaitu dengan penuh cermat, hati-hati dan hormat tanpa menyentuh kehormatan jasad.”

Kemuliaan pada manusia juga menetapkan bahawa mayat harus dihormati dan kumpulan pembedah yang mengeluarkan organ harus bersikap amanah di dalam melaksanakan tugasnya. Di Singapura, Kementerian Kesihatan mempunyai proses pemindahan dengan sistem yang ketat dan dikawal oleh etika kedoktoran, dan pihak kementerian juga memastikan bahawa operasi terhadap mayat dilakukan sama seperti operasi terhadap pesakit hidup.

Adakah jasad manusia milik Allah yang manusia tidak boleh mendermakan bahagian jasad untuk menyelamatkan nyawa orang lain?

Manusia telah diamanahkan untuk memelihara tubuh-badannya dengan baik. Ini bermakna seseorang manusia haruslah memanfaatkan anggota badannya dengan sebaiknya, dan jangan mendedahkan badannya kepada kerosakan. Organ manusia juga bukanlah suatu komoditi yang boleh dijual beli. Namun, ia boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa orang lain, apabila ia tidak lagi diperlukan, seperti setelah mati. Bahkan, dengan mendermakan organ itu kepada orang lain, organ tersebut terus memainkan peranannya, walaupun dalam tubuh badan pesakit yang menerima. Ini tidak menafikan prinsip bahawa manusia milik Allah S.W.T., bahkan ia terkandung di dalam suruhan menggunakan pemberian Allah S.W.T. dengan sebaik-baiknya.

Penyelenggaraan jenazah akan menjadi lewat kerana proses pemindahan organ. Adakah ini dibenarkan?

Di dalam Islam, pengurusan jenazah tidak boleh dilengahkan tanpa sebab yang munasabah. Walaubagaimanapun, proses pemindahan organ bukanlah termasuk dalam kategori melengah-lengahkan jenazah, kerana ia mempunyai sebab yang dizinkan Syara’, iaitu menyelamatkan nyawa orang lain. Perkara ini telah diterangkan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS yang mana ia mengatakan bahawa proses pemindahan organ adalah antara sebab yang boleh diterima sekiranya ia melambatkan urusan penyelenggaraan jenazah penderma organ Islam. Namun demikian, pihak hospital akan memastikan bahawa kelambatan itu dikurangkan seberapa yang boleh

Adakah si penderma dianggap bersubahat jika didapati bahawa si penerima melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam selepas menerima organ baru?

Tanggapan bahawa seseorang yang telah menderma organnya akan dianggap sebagai bersubahat dan menanggung dosa apabila didapati bahawa penerima organnya melibatkan diri dalam perkara yang dilarang Islam adalah tidak benar. Jika penerima organ membawa kemudaratan kepada diri sendiri hingga menyebabkan kerosakan organ yang diterima,atau secara umunya melakukan perkara-perkara yang dilarang Islam, dosanya akan ditanggung sendiri tanpa melibatkan mereka yang telah mendermakan organ kepadanya. Allah S.W.T telah berfirman:

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).”

Saturday 23 July 2011

ILMU,SAHABAT DAN KEKAKSIH

Ilmu... 
Sgt pnting dalam hidop nie..tanpa ilmu,hidup manusia akan terumbang-ambing dalam menghadapi liku-liku kehidupan...So,tuntutlah ilmu walau di mana jua kita berada selagi kita bergelar manusia dan khalifah Allah di atas muka bumi ini..Bagi Zul,ilmu tu amat tinggi nilainya lebih dari segala-galanya kerana dengan ilmulah manusia akan beriman dan dapat beramal.....

Sahabat...
Kita dinilai dari siapa sahabat kita..Oleh itu,pilihlah sahabat yang benar-benar membawa kebahagiaan dalam kehidupan kita k...Dalam persahabatan perlua ada kejujuran,keihklasan dan persefahaman yang baik anatara satu sama lain agar ia terus mekar hingga akhir hayat kita..tanpa sahabat ho\idup kita bergelap dgn dunia kita sendiri...Namun,mencari sahabat yang sejati umpama mencari sebutir permata dalam timbunan kaca....

Kekasih...
Bagi Zul,Zul akan terus mencari ilmu..Dalam pencarian itu akan bertemu ramai kawan..Daripada kawan itu akan Zul temui seorang sahabat dan dari sahabat itulah akan terjalin sebuah ikatan...Zul nak pesan kepada anda,sebagai seorang remaja dan bergelar seorang pelajar,gunakanlah masa ini dengan sebaiknya untuk menuntut ilmu agar tidak tersalah langkah..Percayalah kata Zul nie,PERSAHABATAN itu lebih tinggi dari sebuah ikatan PERCINTAAN....


Friday 22 July 2011

SEJENAK..


Yang Singkat Itu WAKTU.
Yang Menipu Itu DUNIA. 


Yang Dekat Itu KEMATIAN.
Yang Besar Itu HAWA NAFSU.
Yang Berat Itu AMANAH.
Yang Mudah Itu BUAT DOSA
Yang Susah Itu SABAR.
Yang Sering Lupa Itu BERSYUKUR.
Yang Mendorong Ke Neraka Itu LIDAH.

Yang Berharga Itu IMAN.
Yang Ditunggu Allah Itu TAUBAT
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...